Rabu, 29 November 2017

PELAJARAN 22.0 Mubtadak dan Khabar (Siri Belajar Bahasa Arab Selangkah-Selangkah...) dari fb Ustaz Halim Bede

No automatic alt text available.




22.1 (Ulangan) Apakah makna Mubtadak dan Khabar?

Mubtadak dan Khabar adalah komponen utama Jumlah Ismiyyah, iaitu ayat sempurna yang tidak dimulai oleh Fi'il.

Mubtadak ialah Isim Makrifah (samada Isim Zahir atau Gantinama) yang berperanan sebagai Subjek, yang duduknya di permulaan ayat. Khabar pula ialah Predikat.

Khabar adalah Isim Nakirah jika ianya adalah Tunggal (Khabar Mufrad*), dan mesti mengikuti Mubtadak dari segi Bilangan dan Jantina (Lihat 21.2).

Kedua-dua Mubtadak dan Khabar mestilah Marfu' (berada di dalam keadaan Rafa').

22.2 Bolehkah Khabar terdiri daripada Isim Makrifah?

Ya, boleh jika sekiranya Mubtadak adalah Gantinama Diri atau Isim Isyarah.

Contohnya : (أَنا يُوْسُفُ) = "Saya Yusuf"

Kebiasaannya jika Mubtadak dan Khabar kedua-duanya Makrifah, Dhomir (Gantinama Diri) yang sesuai diletakkan di antara keduanya sebagai pemisah dan pembeza ayat lengkap dengan Sifah. Dhomir tersebut digelar 'Dhomir Fashli' (ضَمِيْرُ الْفَصْلِ).

Contoh1 : (اللَّهُ هُوَ الْغَفُوْرُ) = "Allah (Dia) Maha Pengampuan"

Contoh2 : (زُهَيْرٌ هُوَ الْكَرِيْمُ) = "Zuhair (dia seorang) yang mulia"

22.3 Nyatakan lima Gantinama Diri Tunggal yang boleh berperanan sebagai Mubtadak di awal ayat atau Dhomir Pemisah.

(هُوَ) = "Dia (1L)"
(هِيَ) = "Dia (1P)"
(أَنْتَ) = "Kamu (1L)"
(أَنْتِ) = "Kamu (1P)"
(أَنَا) = "Saya"

Dhomir-dhomir ini dinamakan Dhomir Munfasil* atau "Dhomir Terpisah" kerana ianya ditulis sendirian tanpa bersambung dengan perkataan lain. Bandingkan dengan "Dhomir Muttasil" di 11.1.

Contoh:
(هُوَ طَالِبٌ ، هِيَ طَالِبَةٌ ، أَنْتَ طَالِبٌ ، أَنْتِ طَالِبَةٌ ، أَنَا طَالِبٌ)

22.4 Ada berapa jenis Khabar?

Terdapat 3 jenis Khabar :

1. Khabar Mufrad (Khabar Tunggal).

2. Khabar dalam bentuk Jumlah (Jumlah Ismiyyah atau Jumlah Fi'liyyah).

3. Khabar dalam bentuk Syibhul Jumlah (Jarr wa Majrur atau Zharaf wa Majrur).

Khabar berbentuk Jumlah mestilah mengandungi Dhomir padanya yang merujuk kepada Mubtadak.

Contoh1 : (الطَّالِبُ بَيْتُهُ بَعِيْدٌ)
"Pelajar itu rumahnya jauh".

Mubtadak (الطَّالِبُ), Khabar Jumlah Ismiyyah (بَيْتُهُ بَعِيْدٌ) di mana Mubtadaknya (بَيْتُهُ) dan Khabarnya (بَعِيْدٌ). Pada Mubtadak Kedua (بَيْتُهُ) terdapat dhomir (ــهُ) yang merujuk kepada Mubtadak Pertama (الطَّالِبُ).

Contoh2 : (الطَّالِبُ قَرَأَ كِتَابًا)
"Pelajar itu telah membaca sebuah buku"

Mubtadak (الطَّالِبُ), Khabar Jumlah Fi'liyyah, Fi'ilnya (قَرَأَ), Fa'ilnya Dhomir Mustatir* (هُوَ) yang merujuk kepada Mubtadak (الطَّالِبُ), dan Maf'ul Bih ialah (كِتَابًا).

22.5 Bolehkah Mubtadak terdiri daripada Isim Nakirah?

Ya, Mubtadak boleh Nakirah dengan syarat :

Khabarnya adalah Syibhu Jumlah (Lihat 16.6 untuk mengingati kembali apakah itu Syibhu Jumlah).

Dalam keadaan begini, Khabar hendaklah didahulukan dan Mubtadak dikemudiankan.

Contoh1 : (فِي الْغُرْفَةِ رَجُلٌ)

"Seorang lelaki (ada) di dalam bilik itu" atau "Di dalam bilik itu (ada) seorang lelaki".

Contoh2 : (تَحْتَ الْمَكْـتَبِ قَلَمٌ)

"Sebatang pen (ada) di bawah meja itu".

Khabar yang didahulukan dan Mubtadak yang dikemudiankan ini dipanggil "Khabar Muqaddam dan Mubtadak Muakhkhar*"

22.6 Bagaimana pula sekiranya Mubtadak adalah Makrifah dan Khabarnya pula adalah Syibhu Jumlah?

Mubtadak boleh didahulukan atau dikemudiankan.

Contoh : (فِي الْغُرْفَةِ الرَّجُلُ) = (الرَّجُلُ فِي الْغُرْفَةِ)

Latihan :

22.0(a) Berikut sepatutnya adalah ayat-ayat yang lengkap tetapi mengandungi beberapa kesalahan. Perbetulkan supaya menjadi ayat lengkap (الْجُمْلَةُ الْمُفِيْدَةُ), kemudian terjemahkan:

1. طَيْرٌ فَوْقَ الْشَجَرَةُ

2. السَّاعَةٌ الثَّمِيْنٌ

3. عَائِشَةٌ أَبُوهُ طَيَّارٌ

4. الطَّبِيْبةٌ مَا اسْمُهُ ؟

5. نَجَاحٌ أَسَاسُ الاجْتِهَادُ
No automatic alt text available.


22.0(b) Terjemahkan ke Bahasa Arab

sebagai ayat lengkap (الْجُمْلَةُ الْمُفِيْدَةُ):

1. Dia seorang tukang jahit (P) mahir.

2. Kamu seorang juruterbang wanita.

3. Dia seorang peniaga yang berjaya.

4. Sebuah pintu yang besar di masjid itu.

5. Sebatang sungai di kampung itu.

No automatic alt text available.
#NotaBahasaArab

*Khabar Mufrad (الْخَبَرُ الْمُفْرَدُ)

*Dhomir Munfasil (الضَّمِـيْرُ الْمُنْفَصِلُ) = Gantinama Terpisah

*Dhomir Mustatir (الضَّمِـيْرُ الْمُسْتَتِرُ) = Gantinama Tersembunyi pada Fi'il

*Khabar Muqaddam dan Mubtadak Muakhkhar (الْخَبَرُ الْمُقَدَّمُ وَالْمُبْتَدَأُ الْمُؤَخَّرُ)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan