Rabu, 6 Disember 2017

PELAJARAN 24.0 Mutsanna (Siri Belajar Bahasa Arab Selangkah-Selangkah...)


24.1 Apakah tanda Rafa' bagi Isim Mutsanna?

Tanda Rafa' bagi Isim Mutsanna ialah huruf alif (ا).

Huruf alif itu ditambah bersama huruf nun (ن) yakni (انِ) di hujung perkataan asal untuk menjadikan ia Isim Mutsanna.

Ini berbeza dengan tanda Rafa' bagi Isim Mufrad iaitu dhommah.

Contoh :

Isim Mufrad Marfu' (كِتَابٌ) <== Tanda Rafa' adalah dhommah.

Isim Mutsanna Marfu' (كِتَابَانِ) <== Tanda Rafa'nya adalah Alif (ا). (Huruf sebelum Alif mesti berharakat fathah dan Nun di hujung itu pula sentiasa berharakat kasrah).

24.2 Apakah tanda Nasab bagi Isim Mufrad Mansub dan Isim Mutsanna Mansub?

Isim Mufrad Mansub (كِتَابًا) <== Tanda Nasabnya adalah fathah.

Isim Mutsanna Mansub (كِتَابَيْنِ) <== Tanda Nasab adalah Ya (ي). (Huruf sebelum Ya mesti berharakat fathah dan Nun di hujung itu pula sentiasa berharakat kasrah).

24.3 Apakah tanda Jarr bagi Isim Mufrad Majrur dan Isim Mutsanna majrur?

Isim Mufrad Majrur (كِتَابٍ) <== Tanda Jarrnya adalah kasrah.

Isim Mutsanna Majrur (كِتَابَيْنِ) <== Tanda jarr adalah Ya (ي). (Huruf sebelum Ya mesti berharakat fathah dan Nun di hujung itu pula sentiasa berharakat kasrah).

Perhatikan bahawa tanda Nasab dan Jarr bagi Isim Mutsanna adalah serupa, yakni Ya (ي).

PERHATIAN : Sekiranya anda membaca keterangan-keterangan di atas tetapi tidak berapa pasti apa itu Rafa', Nasab, Jarr, Marfu', Mansub, Majrur sila ulangi Bab 17, fahami betul-betul dan buat semua latihannya, kemudian bab 18 demikian juga, sehinggalah anda sampai ke bab ini.

24.4 Sekiranya Isim Mutsanna menjadi Mausuf, bagaimana keadaan Sifahnya?

Sifah mestilah mengikuti Mausuf dari segi Bilangan, Jantina,  I'rab serta Perinciannya (Nakirah/Makrifah) - Lihat 20.3.

Maka jika Mausuf Mutsanna, Sifahnya mestilah Mutsanna juga.

Contoh : (كِتَابَانِ   جَدِيْدَانِ / كِتَابَيْنِ  جَدِيْدَيْنِ)

24.5 Bagaimanakah Isim Mutsanna dalam Idhofah?

Mudhof dan Mudhof Ilaih tidak semestinya sama dari segi bilangan. Kedua-duanya adalah bebas dari segi bilangan.

Namun sekiranya Isim Mutsanna menjadi Mudhof, maka 'Nun' di hujungnya itu mesti digugurkan!

Contoh1 : (كِتَابَا  الطَّالِبِ) di mana mudhof asalnya ialah (كِتَابَانِ). Maknanya "Dua buah buku pelajar itu".

Contoh2 : (أَخَذْتَ  كِتَابَيْ الطَّالِبِ) di mana mudhof asalnya ialah (كِتَابَيْنِ). Maknanya "Kamu telah mengambil dua buah buku pelajar itu".

Contoh 3 : (عَلَى    كِتَابَيْ   الطَّالِبِ    قَلَمٌ) di mana mudhof asalnya ialah (كِتَابَيْنِ). Maknanya "Di atas dua buah buku pelajar itu (ada) sebatang pen".

Latihan :

24.0(a) Tukarkan semua Mudhof di dalam ayat-ayat berikut sebagai Mutsanna. Lengkapkan baris dan terjemahkan :

1. يد البنت نظيفة

2. رايتُ   بيت   رجل

3. جدار الغرفة  أبيض

4. في يد  إِسحاق    كتابه

5. نَظرتُ  الى   منارة  المسجد   الطويلة

24.0(b)  Terjemahkan ke Bahasa Arab :

1.  Ahmad telah membawa dua buah beg yang baru itu.

2. Saya telah melihat dua buah begnya yang baru itu.

3.  Saya telah membaiki dua buah tingkap rumah itu.

4.  Dia telah menulis kepada dua orang anak raja itu.

5. Apa  (ada)  di dalam dua tangan kamu?

#NotaBahasaArab

Tiada ulasan:

Catat Ulasan